Sunday, October 10, 2010

SPR tidak peka tarikh pilihan raya kecil, Sidang DUN

KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak peka dalam menetapkan keputusan menetapkan tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Nik Abdul Aziz berkata, SPR tidak mengambil kira jadual persidangan belanjawan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri dalam menentukan tarikh pilihan raya kecil itu.

“Dia (SPR) nak jawab...jawab la. Tetapi dia perlu mengambil kira Sidang DUN yang akan berlangsung. Kerajaan negeri yang telah pun gazet tarikh tersebut untuk adakan Sidang DUN.

“Dan ia telah pun dipersembahkan kepada tuanku. Tentu la kena ambil kira. Dia (SPR) nak jawab macam mana dia jawab la...tetapi menyusahkan kita kena ambil cuti la,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Suami Isteri peringkat negeri di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan SPR yang menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN Galas pada 4 November ini ketika Kerajaan Negeri pimpinan Pas mengadakan Sidang DUN.

Berikutan itu Persidangan Belanjawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dijadualkan selama seminggu mulai 1 November, akan ditangguhkan pada hari pembuangan undi pilihan raya kecil DUN Galas pada hari tersebut.

Kelmarin Speaker DUN, Datuk Mohd Nasuruddin Daud dilaporkan berkata, penangguhan itu bagi membolehkan anggota dewan sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang menumpukan perhatian kepada suasana pilihan raya itu.

Empat kakitangan Jabatan Imigresen didakwa rasuah

SHAH ALAM – Mahkamah Majistret mengeluarkan perintah reman terhadap empat kakitangan Jabatan Imigresen termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan kemasukan pendatang asing tanpa izin ke negara ini melalui Pulau Ketam, Klang.

Majistret Hafizah Abdul Rajak mengeluarkan perintah reman kira-kira jam 11.15 pagi semalam hingga 12 Oktober ini.

Keempat-empat mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, kira-kira jam 10.45 pagi bagi memperoleh perintah reman itu.

Terdahulu, semua mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu operasi di jeti berkenaan, kelmarin.

Keempat-empat suspek yang bertugas di Jeti Penumpang Pulau Ketam itu dipercayai terbabit menerima sogokan bagi memudahkan kemasukan pendatang haram dari negara jiran.