PUCHONG, 19 Julai - Kira-kira 4,800 pelarian Rohingya yang berada di Malaysia masih tertunggu-tunggu dengan permohonan mendapatkan Kad IMM13 yang dibuat tiga tahun lepas dengan Jabatan Imigresen.
Presiden Rohingya Information Center (RIC) En. Mohd Yahya Bin Dildar Ahmad, mendakwa permohonan beserta bayaran sebanyak RM90 untuk permohonan itu dibuat di Pusat Tahanan Imigresen, Sepang pada Ogos 2006.
"Di dalam tempoh dua minggu mulai 1 Ogos 2006, 4,800 daripada kami telah membuat bayaran terbabit di Pusat Tahanan Imigresen Sepang untuk mendapatkan Kad IMM13 itu."
Kini selepas tiga tahun dan bayaran sebanyak RM90, termasuk RM50 untuk bayaran ejen, kami masih tertunggu-tunggu sebarang berita tentang permohonan Kad IMM13 itu," katanya kepada Bernama dalam satu temuramah di sini, baru-baru ini.
En. Mohd Yahya, yang mewakili pelarian Rohingya di Malaysia, mendakwa kumpulan terbabit membuat permohonan Kad IMM13 itu selepas mendapat kelulusan daripada Bahagian Keselamatan Negara (BKN), Jabatan Perdana Menteri.
En. Mohd Yahya Ahmad, yang telah 13 tahun berada di negara Malaysia, turut menunjukkan resit bayaran RM90 yang dibuat kepada Imigresen bagi permohonan Kad IMM13 itu kepada Krew Rakyatkini.
Menurutnya, kumpulan Rohingya itu amat mengharapkan Kad IMM13 daripada Jabatan Imigresen itu kerana ia akan memudahkan mereka untuk mendapatkan kerja serta menyara keluarga.
Pada ketika ini, katanya pelarian Rohingya yang berada di Malaysia hanya diberikan kad identiti oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
Bagaimanapun kad identiti UNHCR itu, kata beliau tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.
"Akibatnya kami sering diburu oleh pihak berkuasa tempatan ini yang tidak mengiktiraf kedudukan kami sebagai pelarian tetapi hanya sebagai pendatang asing tanpa izin," kata En. Mohd Yahya .
Kehidupan pelarian Rohingya di Malaysia, katanya adalah sukar kerana mereka tidak dibenarkan mencari rezeki untuk menanggung kehidupan keluarga, selain sentiasa diburu oleh pihak berkuasa.
"Kehidupan kami pada ketika ini adalah amat daif dan sukar," katanya sambil menambah kata bahawa beliau mengharapkan UNHCR menempatkan mereka ke negara-negara ketiga yang sudi menerima pelarian Rohingya.
Pelarian Rohingya di Malaysia mahu ditempatkan di negara ketiga, katanya.
Menurut En. Mohd Yahya , terdapat kira-kira 16,000 pelarian Rohingya di Malaysia pada ketika ini.
Beliau mendakwa pelarian Rohingya yang beragama Islam berasal daripada wilayah Arakan di Myanmar melarikan diri ke beberapa negara serantau termasuk Thailand, Malaysia, Indonesia serta negara jiran yang lain untuk melarikan kekejaman kerajaan tentera Yangon.
Friday, July 31, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment